Wednesday 30 May 2012

Laporan Kajian Tindakan

Berikut adalah  dua laporan kajian tindakan yang dijalankan oleh kami. Laporan yang pertama mengenai pendekatan rangsangan positif dan penggunaan teknologi komputer di dalam P&P terhadap pelajar yang dikategorikan sebagai elemen gangguan dan penggunaan teknologi komputer di dalam pengajaran matematik.

Segala komen dan kritikan anda amat kami harapkan.

Terima kasih.

KAJIAN TINDAKAN MENGENAI PENGGUNAAN TEKNOLOGI KOMPUTER & RANGSANGAN POSITIF MAMPU MENGURANGKAN ELEMEN GANGGUAN DI KALANGAN PELAJAR SEMASA SESI PENGAJARAN DI SMK INDERA SHAHBANDAR, PEKAN, PAHANG


KAJIAN TINDAKAN MENGENAI PENGGUNAAN TEKNOLOGI KOMPUTER (PENGGUNAAN PERISIAN POWER POINT INTERAKTIF) MAMPU MENARIK MINAT PELAJAR TERHADAP MATAPELAJARAN MATEMATIK SEMASA SESI PENGAJARAN DI SK KEPONG BARU, KUALA LUMPUR.
Kajian Tindakan Mengenai Penggunaan Teknologi Komputer


GABUNGAN KEDUA-DUA KAJIAN TINDAKAN
Kajian Tindakan Matematik SME6044

Wednesday 23 May 2012

Personaliti Guru

http://logik-guru.blogspot.com/2010/01/guru-professional.html

Salam dan selamat sejahtera.

Saya terbaca artikel ini dan tertarik dengan tajuknya, ""Personaliti guru". Saya bersetuju dengan tulisan penulis ini iaitu orang ramai mudah mengenali tingkah laku seorang guru. Seorang rakan saya yang mana suaminya seorang peniaga mengatakan suaminya menceritakan, kalau suka tawar-menawar tu, mesti cikgu. Tidak pasti di mana letaknya tagline "cikgu" pada individu yang bergelar guru tetapi masyarakat sekeliling nampaknya telah mengelaskan tingkah laku tertentu pastinya menunjukkan seseorang individu itu ialah guru. Jadi, guru-guru semua, anda sebenarnya diperhatikan!

Personaliti guru sememangnya mempengaruhi proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Mengikut pengalaman saya sendiri, pelajar tidak berani berinteraksi dengan saya semasa P&P kerana takutkan saya. Semasa saya cuba menukar persepsi tersebut di kalangan pelajar saya dengan cuba menjadi lebih mesra (walaupun tidak mudah), terdapat perubahan dari segi komunikasi di antara pelajar dengan saya sebagai guru mereka. Saya mendapati mereka masih menghormati saya sebagai guru mereka cuma mereka lebih banyak bertanyakan tentang masalah pelajaran yang mereka hadapi dan bercerita perkara-perkara yang bukan bersifat akademik seperti hal keluarga dan sebagainya. Perlu saya akui yang saya agak menyukai situasi ini kerana ia membuatkan saya lebih mengenali latar belakang pelajar didikan saya. 

Proses pengajaran juga menjadi semakin rancak dan perbincangan dua hala dapat dijalankan. Pelajar lebih berani memberikan pendapat dan jalan kerja yang mereka fikirkan sesuai untuk menyelesaikan sesuatu masalah yang saya beri untuk dibincangkan. Menurut banyak dapatan kajian yang telah dijalankan, suasana pembelajaran yang positif meningkatkan pencapaian pelajar. Pelajar juga didapati lebih berminat menyelesaikan kerja rumah dan latihan yang diberi di dalam kelas. 

Oleh itu, sama-samalah kita memperbaiki personaliti diri kita sebagai seorang guru ke arah yang lebih baik. Matlamat kita sebagai pendidik pastinya ingin melihat anak didik kita berjaya menjalani hidup dalam masyarakat. Dengan menunjukkan contoh yang baik, pastinya mempengaruhi sikap pelajar. Saya sertakan pautan ke artikel ini  iaitu http://logik-guru.blogspot.com/2010/01/guru-professional.html 

Selamat membaca.

Tuesday 22 May 2012

Keberkesanan Penggunaan Kalkulator Dalam Pengajaran Matematik Di Sekolah Rendah

http://www.virtualfriends.net/article/articleview.cfm?AID=50423

Salam dan selamat sejahtera.

Penggunaan kalkulator di kalangan pelajar di Malaysia bermula di peringkat sekolah menengah dan ke atas. Di sekolah menengah, terbahagi kepada dua peringkat. Bermula tingkatan 1 hingga 3, penggunaan kalkulator hanya untuk menjawab soalan di Kertas 1 sahaja (objektif) dan di menengah atas ialah pada Kertas 1 dan Kertas 2. Jadi, kesimpulan yang boleh dibuat di sini ialah, penggunaan kalkulator masih terhad penggunaannya di kalangan pelajar di Malaysia.

Dapatan dari TIMSS menunjukkan, proses pengajaran yang menggunakan kalkulator dan komputer mempengaruhi pencapaian pelajar dalam matematik ke peringkat lebih baik. Pelajar juga dapat menumpukan perhatian terhadap pemahaman konsep matematik dan pengaplikasiannya dalam kehidupan harian. Oleh itu, kemahiran penyelesaian masalah di kalangan pelajar dapat ditingkatkan. Penggunaan kalkulator telah lama diamalkan di dalam sistem pengajaran dan pembelajaran di negara-negara maju lain. Hasil dapatan ini selaras dengan dapatan yang dikeluarkan di dalam artikel ini. Sehubungan dengan itu, apakah langkah yang diambil kerajaan Malaysia terhadap pemantapan ilmu matematik di kalangan pelajar di Malaysia? Begitu banyak dapatan telah membuktikan keberkesanan kalkulator, apa yang hendak ditunggu lagi?

Isu yang mungkin timbul berkenaan penggunaan kalkulator ialah pelajar tidak akan dapat mengira secara manual, mencongak dan terlalu bergantung kepada kalkulator sekiranya kita membenarkan penggunaannya seawal sekolah rendah. Tidak semua pelajar yang boleh mencongak dan mengira secara manual terutamanya apabila melibatkan pendaraban dan pembahagian. Jangankan di sekolah rendah, di sekolah menengah juga menghadapi masalah yang sama. Bukankah itu masalah yang dihadapi sekarang di kebanyakan sekolah rendah dan menengah biasa? Walaupun bukan semua pelajar tetapi ia melibatkan sebahagian besar pelajar. Apabila pelajar ini memasuki masyarakat, mereka akan tetap menggunakan kalkulator untuk membuat pengiraan. Soalnya, adakah mereka mampu menterjemah masalah yang dihadapi dalam ayat matematik agar mereka dapat menggunakan kalkulator?

Oleh itu, isu sebenar yang dihadapi pelajar kita apabila masuk ke dalam masyarakat ialah penyelesaian masalah. Tujuan mereka mempelajari matematik ialah untuk menggunakannya ke dalam kehidupan harian dan seiring dengan perkembangan teknologi. Bagaimana mereka hendak menggunakan kalkulator sekiranya tidak tahu apa operasi yang sesuai untuk menyelesaikan masalah mereka? Bukankah tugas guru untuk memandu pelajar membuat penyelesaian masalah? Sekiranya perkara itu tidak dapat pelajar lakukan, apa yang guru mereka buat dahulu? Pelajar diajar seolah-olah semua pelajar akan mengikuti aliran sains tulen sedangkan tidak semua pelajar mampu mengikuti aliran tersebut. Sekiranya tidak mampu membuat penyelesaian masalah dan hanya tahu mengira, mencongak dan sewaktu dengannya, layakkah mereka mengikuti aliran sains tulen? Pada pendapat saya, semuanya berbalik semula kepada kemahiran penyelesaian masalah. Sama ada pelajar yang akan menaiki menengah atas ke aliran sains tulen atau sastera, kemahiran penyelesaian masalah adalah penting. Setakat tahu mengira dan mencongak, tidak menjamin mereka boleh menggunakan ilmu matematik mereka.

Secara keseluruhan, saya agak bersetuju dengan isi dan dapatan dari artikel ini. Saya sertakan sekali lagi pautan ke artikel ini:  http://www.virtualfriends.net/article/articleview.cfm?AID=50423

Monday 21 May 2012

Pendekatan, Strategi, Kaedah dan Teknik?

http://www.teachersrock.net/pdkt.htm


Salam dan selamat sejahtera.

Dialog-dialog contoh yang ada di artikel yang akan saya ulas ini adalah dialog yang biasa didengar. Kita sebagai manusia sememangnya banyak alasan atas setiap sesuatu yang dilakukan. Kadang-kadang bagus sebab kita membuat sesuatu secara bersebab tetapi malangnya kebanyakannya menggunakan alasan sebagai "escapism" bagi sesuatu yang dilakukannya. Bagi isu ini iaitu keberkesanan pedagogi guru yang mana bukan isu terbaru malah sering menjadi bualan atau sebab pemantauan ke atas guru-guru dijalankan. Tetapi adakah yang menjalankan pemantauan itu sendiri jelas dengan pedagogi yang berkesan? Saya bukan anti-pemantauan tetapi saranan yang saya terima selama bergelar guru di sekolah yang saya berkhidmat setakat ini, boleh membuatkan saya ketawa sendiri dan terfikir, "Adakah mereka benar-benar jelas dengan keadaan pelajar ini?". Tidak semua saranan itu yang tidak saya terima tetapi terdapat saranan yang kurang boleh saya terima dengan keadaan pelajar saya. Itu sebabnya saya mengelaskan golongan ini sebagai golongan yang dah lama tidak pergi mengajar kerana tidak berkenalan dengan murid. 

Secara peribadinya, saya bersetuju dengan artikel ini kerana saya berpendapat, kaedah, teknik dan strategi yang akan kita gunakan dalam pengajaran adalah bergantung kepada keadaan murid. Walaupun dalam sekolah yang sama, tidak mungkin saya menggunakan pendekatan yang sama ke atas pelajar tahun berikutnya. Kaedah mungkin sama tetapi strategi yang digunakan mungkin berbeza sesuai dengan markah mula berdasarkan peperiksaan akhir tahun sebelumnya dan tahap motivasi pelajar terhadap matapelajaran yang akan diajar. Motivasi pelajar bukanlah perkara yang patut dipandang remeh dalam memulakan pengajaran kerana ia mempengaruhi tumpuan pelajar terhadap pengajaran guru. Sekiranya guru tidak mengambil perhatian terhadap aspek ini, maka proses pengajaran dan pembelajaran mungkin terganggu. Menurut dapatan TIMSS, gangguan pelajar (perbezaan kebolehan akademik pelajar, latar belakang pelajar yang berbeza, pelajar berkeperluan khas, pelajar yang tidak berminat dan pelajar yang mengganggu) akan menyebabkan pengajaran guru terganggu dan menjejaskan pencapaian pelajar.

Adakah tiada jalan penyelesaian? Setiap penyakit ada ubatnya. Maka, tentulah guru yang mengajar itu sepatutnya telah menguasai semua kaedah pedagogi yang pernah dipelajari semasa di maktab atau universiti dulu. Tetapi berapa orang yang benar-benar mengamalkannya? Kita diajar tentang pedagogi dan kita juga dilatih menggunakan alat bantu dan bahan mengajar. Paling terkini pastinya penggunaan ICT. Apabila anda berhadapan pelajar dalam kategori mengganggu, bagaimana anda menarik perhatian mereka agar memberi tumpuan kepada anda? Kemudahan ICT termasuk internet disediakan kerajaan bagi menggalakkan pengajaran yang berkesan di kalangan guru. Pelajar juga boleh mengakses sendiri internet bagi mempelajari perkara baru yang mungkin tidak didedahkan di dalam kelas. Dengan pengetahuan baru yang pelajar miliki dan pengetahuan guru, pastinya suasana pengajaran lebih bermakna dan komunikasi dua hala antara guru dan murid terjadi. Walaubagaimanapun, terdapat guru yang lebih berminat dengan kaedah konvensional yang lebih menjurus kepada peperiksaan. Ini kerana prestasi guru dan sekolah diukur melalui pencapaian pelajar. Jadi tidak menghairankan sekiranya kebanyakan guru mengamalkan "exam-oriented approach". Bagi pelajar luar bandar pula misalnya, amalan "spoon-feed" telah menjadi kebiasaan di kalangan pelajar. Oleh itu, sekiranya guru meminta pelajar mencari perkara yang berkaitan tajuk yang diajar di internet, agak sukar bagi mereka melaksanakannya kerana akhirnya guru sendiri yang mempersembahkan kepada pelajar ini. Hal ini mungkin disebabkan oleh kurangnya pendedahan penggunaan internet bagi tujuan pendidikan di kalangan murid. Justeru itu, guru perlu melakukan sesuatu bagi mengubah situasi ini.


Setakat ini sahaja coretan saya buat kali ini. Segala coretan yang menyinggung mana-mana pihak, harap dimaafkan. Teguran di sini dan komen adalah bagi diri saya sendiri dan mereka yang terasa berbuat perkara yang tidak sepatutnya semasa mendidik anak bangsa kita. Sama-samalah kita perbaiki diri kita bagi kemajuan sistem pendidikan yang lebih berkualiti. Sekali lagi, saya sertakan pautan bagi artikel ini: http://www.teachersrock.net/pdkt.htm

Sunday 20 May 2012

Projek Schoolnet Menghubungkan Sekolah di Seluruh Negara ke Internet Menerusi Akses jalur Lebar

http://www.tm.com.my/ap/about/media/press/Pages/SCHOOLNETPROJECTCONNECTSSCHOOLSNATIONWIDETOINTERNETVIABROADBANDACCESS-bm.aspx


Salam dan selamat sejahtera.

Saya kira Schoolnet bukanlah asing di kalangan warga sekolah di Malaysia. Sekiranya anda telah membaca artikel ini, projek ini telah dimulakan pada 2004. Kini, hampir semua sekolah menggunakan Schoolnet kecuali kepada guru besar atau pengetua yang tidak menandatangani perjanjian untuk menggunakan perkhidmatan ini (ada tapi jumlahnya sedikit). Walaubagaimanapun, saya tidak begitu jelas dengan sekolah-sekolah di pedalaman Sabah dan Sarawak.

Kita sedia maklum melalui banyak dapatan kajian dan salah satunya TIMSS, pelajar yang didedahkan penggunaan komputer dalam pembelajaran mereka baik di rumah atau di sekolah mendapat pencapaian yang baik dalam  matapelajaran matematik dan sains. Untuk tujuan tersebut, kerajaan kita mengadakan kemudahan ict sama ada peralatan, perisian dan jalur lebar dengan harapan pencapaian akademik pelajar di Malaysia meningkat dan setanding dengan pelajar di negara lain di peringkat antarabangsa. Tapi adakah hasrat itu tercapai? Di sinilah bermulanya isu mengenai ict dalam pendidikan di negara kita.


Bagi isu ict dalam pendidikan seperti saya nyatakan tadi, saya hendak berkongsi perlaksanaannya di sekolah saya. Tidak dinafikan akan kemudahan Schoolnet banyak memberi perubahan kepada corak pengajaran guru di sekolah kami. Walaupun tidak semua yang memanfaatkan kemudahan ini tetapi ia memudahkan guru-guru yang menggunakannya menyampaikan pengajaran dengan lebih berkesan. Bagi yang tidak menggunakan kemudahan ini (kebanyakannya guru-guru lama) ialah kerana menganggapnya tidak perlu dan mereka sendiri sememangnya tidak mahir dengan penggunaan komputer dan internet. Sikap takut tersilap di hadapan murid seharusnya dibuang kerana ini ialah salah satu kemahiran bagi memajukan diri sendiri. Secara peribadi, saya menganggap semuanya berbalik kepada sikap.


Masalah kedua yang sering berlaku di sekolah saya ialah talian telefon dan internet tidak boleh digunakan kerana kabelnya dicuri. Bukan sekali dua malah berkali-kali. Tempoh baik pulih pula memakan masa yang agak lama kerana sekiranya kita mengajar, mungkin boleh dihabiskan dua topik dalam tempoh tersebut. Terdapat juga individu yang mencadangkan muat turun bahan dari internet dahulu sebelum ke kelas. Adakah semua guru-guru mempunyai talian internet di rumah? Biasanya, mereka yang mempunyai talian internet di rumah ialah mereka yang menyedari akan kepentingannya sahaja. Bagi mereka yang agak kurang pendedahan, tiada talian di tempat tinggal atau kurang berminat dengan internet, pastinya mereka tidak mempunyai talian internet. Cyber cafe pun mungkin tidak mereka jejaki.


Bagi guru yang telah mengatasi masalah talian dengan memuat turun dahulu bahan pengajaran, masalah yang dihadapi ialah LCD. Pada tahun ini, hanya terdapat 4 buah LCD sahaja yang boleh digunakan di sekolah saya. Disebabkan kebanyakan guru menggunakan ICT sebagai ABM mereka, maka masing-masing berebutkan 4 buah LCD tersebut. Boleh anda bayangkan? Cadangan membeli sendiri LCD boleh diambil kira tetapi berapa ramai di antara kita yang akan membelinya sendiri? Mungkin anda akan menganggap ini sebagai alasan tetapi bagi mereka yang baru berjinak-jinak dengan penggunaan komputer di dalam pengajaran dan telah lama mengajar dengan kaedah konvensional, saya pasti mereka akan berpaling semula kepada kaedah yang lama. Cadangan saya, pihak bertanggungjawab perlu membuat pemantauan yang kerap terhadap laporan kerosakan yang dihantar oleh Penyelaras Bestari sekolah dan membuat tindakan segera.


Setakat ini sahaja dahulu dari saya buat kali ini. Sebarang ulasan yang menyinggung mana-mana pihak, maaf yang saya pinta. Tujuan saya hanyalah bagi menegur diri sendiri dan mereka yang terasa sendiri sahaja yang melakukan perkara yang tidak patut kepada anak didik kita. Sama-samalah kita berubah. Saya sertakan sekali lagi alamat artikel ini untuk rujukan pembaca semua: http://www.tm.com.my/ap/about/media/press/Pages/SCHOOLNETPROJECTCONNECTSSCHOOLSNATIONWIDETOINTERNETVIABROADBANDACCESS-bm.aspx


Penulisan Laporan Mengenai Isu TIMSS

Salam dan selamat sejahtera.

Kami sertakan post kali ini dengan penulisan laporan mengenai isu-isu yang terdapat di dalam TIMSS sesuai dengan sistem pendidikan di Malaysia. Sekiranya terdapat sebarang kekurangan, komen dan kritikan membina anda amat dialu-alukan.

Terima kasih.

TIMSS

Saturday 19 May 2012

Mansuhkan Pengajaran Sains & Matematik Dalam Bahasa Inggeris?

VS


Saya ada terbaca beberapa artikel mengenai pelaksanaan PPSMI. Seperti yang kita sedia maklum, bermula tahun ini sistem pendidikan kita melaksanakan MBMMBI. Jadi, walaupun isu ini diatasi dengan pelaksanaan MBMMBI, tidak salah rasanya saya membangkitkan isu bahasa yang digunakan dalam pengajaran Matematik dan Sains di sekolah.

Terdapat dua artikel mengenai isu ini yang amat menarik perhatian saya. Kedua-duanya merupakan penulisan blog. Artikel yang pertama ialah dari blog bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo dan yang kedua ialah di blog syokkahwin.com oleh Aishah. Sebelum itu, saya sengaja hendak mengulas kedua-dua artikel ini dalam post ini kerana pada saya, ini merupakan isu yang sama cuma berbeza dari segi pendapat sahaja.

Apabila bercakap isu PPSMI, bahasa dijadikan penyebab kepada kurang cemerlangnya pelajar dalam Matematik dan Sains. Berdasarkan penulisan Dr Mohamad Khir Toyo bahawa setelah enam tahun perlaksanaan PPSMI di negara ini mendapat semakin banyak tentangan dan beliau mencadangkan kerajaan memikirkan untuk mengembalikan semula Bahasa Melayu bagi pengajaran Matematik dan Sains di sekolah rendah hingga ke PMR. Beliau juga menyatakan majoriti yang bermasalah adalah di kalangan bangsa Melayu yang tinggal di luar bandar dan tidak atau jarang menggunakan Bahasa Inggeris. Saya faham harapan beliau tetapi adakah langkah tersebut menyelesaikan masalah? Dapatan Noor Azina Ismail (2009), bangsa Melayu sememangnya lemah dalam penguasaan Matematik dan Sains berbanding bangsa lain di Malaysia. Secara peribadi, saya berharap kajian dan tindakan terhadap sikap bangsa Melayu sendiri perlu diberi perhatian. Ini disebabkan oleh berdasarkan kajian, sikap pelajar yang positif menyumbang kepada pencapaian pelajar yang baik. Jadi yang mana sebenarnya bersalah? Bahasa atau sikap bangsa itu sendiri?

Artikel yang ditulis Aishah ini pula bertentangan dengan penulisan Dr Mohamad Khir Toyo tadi. Penulis ini menerima PPSMI secara positif dan saya berpendapat beliau mempersoalkan individu atau kumpulan yang menentang PPSMI. Hujah yang dikemukakan agak boleh diterima oleh saya yang membacanya. Tetapi adakah penulis ini mengambil kira perlaksanaan PPSMI di luar bandar? Realitinya di luar bandar (saya mengajar di luar bandar), kurangnya guru bahasa Inggeris di sana. Makanya, guru-guru yang tidak ditauliahkan dalam matapelajaran ini diarahkan untuk mengajarnya (terjadi pada saya). Pada pendapat anda, tercapai atau tidak objektif pengajaran bahasa Inggeris apabila diajar oleh guru-guru yang tidak bertauliah dalam subjek ini? Rasanya jika objektif tercapai, isu pelajar Melayu di luar bandar tidak boleh mengikuti sistem PPSMI tidak wujud. Penulis ada mencadangkan pelajar luar bandar belajar bahasa Inggeris melalui televisyen dan buku cerita. Ini lagi satu realiti yang saya hendak kongsikan. Betapa seronok atau menarik cerita atau lagu tersebut di pancaindera saya, pelajar saya sedikit pun tidak hairan sekiranya bahasa yang digunakan ialah bahasa Inggeris. Tetapi sekiranya cerita atau lagu yang saya mainkan itu dalam bahasa Melayu atau Indonesia, berkali-kali mereka meminta saya memainkan semula. Itu baru situasi pertama. Buku kerja berharga RM2.50 diminta untuk dibeli bagi kegunaan dalam kelas tambahan di sekolah. Majoriti pelajar akan menjawab,"Cikgu, ayah kita tak pergi ke laut,". Saya tahu itu alasan semata-mata dari pelajar saya kerana mereka sanggup menghabiskan wang bagi membeli isi semula telefon prabayar dan sebagainya. Jadi, lagi sekali saya mengatakan sikap adalah punca utama masalah ini. Isu bahasa ini timbul disebabkan sikap bangsa kita sendiri.

Oleh itu, pihak berkenaan perlu memikirkan cara yang terbaik bagi mendidik warga Malaysia membina sikap yang positif terhadap ilmu. Saya juga berminat dengan cadangan semasa perbincangan di kuliah iaitu mengembalikan semula sistem aliran Melayu dan Inggeris. Ini memberi ruang kepada rakyat untuk memilih aliran yang sesuai dengan anak-anak mereka. Kurikulum mungkin sama tetapi berbeza bahasa pengantar sahaja. Ini cuma cadangan bagi isu bahasa yang berpunca dari sikap tadi. Saya pasti anda selalu mendengar, seribu satu alasan diberi sekiranya kita tidak mahu laksanakan atau tidak sukakan sesuatu. Jadi fikir-fikirkanlah.

Anda boleh membaca sendiri post artikel yang saya ulas tadi di:
Kembalikan Matematik & Sains Dalam Bahasa Melayu www.drkhir.com/2008/12/kembalikan-matematik-dan-sains-kepada.htm
Mansuhkan Pengajaran Sains & Matematik Dalam Bahasa Inggeris? syokkahwin.com/blog/2009/02/17/mansuhkan-pengajaran-sains-dan-matematik-dalam-bahasa-inggeris/

Selamat membaca dan kalau boleh, tinggalkanlah komen anda. Terima kasih.

Wednesday 21 March 2012

Pembentangan TIMSS

Trends and Issues in Mathematics and Science Study
View more presentations from timssupsi.

Pembuka Kata

Salam dan selamat sejahtera.


Blog ini dibina atas tujuan berkongsi pendapat dan berbincang mengenai isu-isu kontemporari dalam Pendidikan Matematik. Menerusi blog ini, segala pendapat dan kritikan akan dikongsi dan dibincangkan bersama.

Kepada Prof. Dr. Marzita Puteh, idea dan pendapat prof amat kami nanti-nantikan. Diharap komen tersebut dapat membantu kami membina pengetahuan yang lebih kukuh mengenai isu pendidikan kini.


Oleh itu, kami amat berbesar hati sekiranya anda sudi berkongsi idea dan pendapat di bahagian catatan kami. Jangan lupa untuk mengikuti blog ini bagi mengetahui post kami yang seterusnya =)