Wednesday, 23 May 2012

Personaliti Guru

http://logik-guru.blogspot.com/2010/01/guru-professional.html

Salam dan selamat sejahtera.

Saya terbaca artikel ini dan tertarik dengan tajuknya, ""Personaliti guru". Saya bersetuju dengan tulisan penulis ini iaitu orang ramai mudah mengenali tingkah laku seorang guru. Seorang rakan saya yang mana suaminya seorang peniaga mengatakan suaminya menceritakan, kalau suka tawar-menawar tu, mesti cikgu. Tidak pasti di mana letaknya tagline "cikgu" pada individu yang bergelar guru tetapi masyarakat sekeliling nampaknya telah mengelaskan tingkah laku tertentu pastinya menunjukkan seseorang individu itu ialah guru. Jadi, guru-guru semua, anda sebenarnya diperhatikan!

Personaliti guru sememangnya mempengaruhi proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Mengikut pengalaman saya sendiri, pelajar tidak berani berinteraksi dengan saya semasa P&P kerana takutkan saya. Semasa saya cuba menukar persepsi tersebut di kalangan pelajar saya dengan cuba menjadi lebih mesra (walaupun tidak mudah), terdapat perubahan dari segi komunikasi di antara pelajar dengan saya sebagai guru mereka. Saya mendapati mereka masih menghormati saya sebagai guru mereka cuma mereka lebih banyak bertanyakan tentang masalah pelajaran yang mereka hadapi dan bercerita perkara-perkara yang bukan bersifat akademik seperti hal keluarga dan sebagainya. Perlu saya akui yang saya agak menyukai situasi ini kerana ia membuatkan saya lebih mengenali latar belakang pelajar didikan saya. 

Proses pengajaran juga menjadi semakin rancak dan perbincangan dua hala dapat dijalankan. Pelajar lebih berani memberikan pendapat dan jalan kerja yang mereka fikirkan sesuai untuk menyelesaikan sesuatu masalah yang saya beri untuk dibincangkan. Menurut banyak dapatan kajian yang telah dijalankan, suasana pembelajaran yang positif meningkatkan pencapaian pelajar. Pelajar juga didapati lebih berminat menyelesaikan kerja rumah dan latihan yang diberi di dalam kelas. 

Oleh itu, sama-samalah kita memperbaiki personaliti diri kita sebagai seorang guru ke arah yang lebih baik. Matlamat kita sebagai pendidik pastinya ingin melihat anak didik kita berjaya menjalani hidup dalam masyarakat. Dengan menunjukkan contoh yang baik, pastinya mempengaruhi sikap pelajar. Saya sertakan pautan ke artikel ini  iaitu http://logik-guru.blogspot.com/2010/01/guru-professional.html 

Selamat membaca.

Tuesday, 22 May 2012

Keberkesanan Penggunaan Kalkulator Dalam Pengajaran Matematik Di Sekolah Rendah

http://www.virtualfriends.net/article/articleview.cfm?AID=50423

Salam dan selamat sejahtera.

Penggunaan kalkulator di kalangan pelajar di Malaysia bermula di peringkat sekolah menengah dan ke atas. Di sekolah menengah, terbahagi kepada dua peringkat. Bermula tingkatan 1 hingga 3, penggunaan kalkulator hanya untuk menjawab soalan di Kertas 1 sahaja (objektif) dan di menengah atas ialah pada Kertas 1 dan Kertas 2. Jadi, kesimpulan yang boleh dibuat di sini ialah, penggunaan kalkulator masih terhad penggunaannya di kalangan pelajar di Malaysia.

Dapatan dari TIMSS menunjukkan, proses pengajaran yang menggunakan kalkulator dan komputer mempengaruhi pencapaian pelajar dalam matematik ke peringkat lebih baik. Pelajar juga dapat menumpukan perhatian terhadap pemahaman konsep matematik dan pengaplikasiannya dalam kehidupan harian. Oleh itu, kemahiran penyelesaian masalah di kalangan pelajar dapat ditingkatkan. Penggunaan kalkulator telah lama diamalkan di dalam sistem pengajaran dan pembelajaran di negara-negara maju lain. Hasil dapatan ini selaras dengan dapatan yang dikeluarkan di dalam artikel ini. Sehubungan dengan itu, apakah langkah yang diambil kerajaan Malaysia terhadap pemantapan ilmu matematik di kalangan pelajar di Malaysia? Begitu banyak dapatan telah membuktikan keberkesanan kalkulator, apa yang hendak ditunggu lagi?

Isu yang mungkin timbul berkenaan penggunaan kalkulator ialah pelajar tidak akan dapat mengira secara manual, mencongak dan terlalu bergantung kepada kalkulator sekiranya kita membenarkan penggunaannya seawal sekolah rendah. Tidak semua pelajar yang boleh mencongak dan mengira secara manual terutamanya apabila melibatkan pendaraban dan pembahagian. Jangankan di sekolah rendah, di sekolah menengah juga menghadapi masalah yang sama. Bukankah itu masalah yang dihadapi sekarang di kebanyakan sekolah rendah dan menengah biasa? Walaupun bukan semua pelajar tetapi ia melibatkan sebahagian besar pelajar. Apabila pelajar ini memasuki masyarakat, mereka akan tetap menggunakan kalkulator untuk membuat pengiraan. Soalnya, adakah mereka mampu menterjemah masalah yang dihadapi dalam ayat matematik agar mereka dapat menggunakan kalkulator?

Oleh itu, isu sebenar yang dihadapi pelajar kita apabila masuk ke dalam masyarakat ialah penyelesaian masalah. Tujuan mereka mempelajari matematik ialah untuk menggunakannya ke dalam kehidupan harian dan seiring dengan perkembangan teknologi. Bagaimana mereka hendak menggunakan kalkulator sekiranya tidak tahu apa operasi yang sesuai untuk menyelesaikan masalah mereka? Bukankah tugas guru untuk memandu pelajar membuat penyelesaian masalah? Sekiranya perkara itu tidak dapat pelajar lakukan, apa yang guru mereka buat dahulu? Pelajar diajar seolah-olah semua pelajar akan mengikuti aliran sains tulen sedangkan tidak semua pelajar mampu mengikuti aliran tersebut. Sekiranya tidak mampu membuat penyelesaian masalah dan hanya tahu mengira, mencongak dan sewaktu dengannya, layakkah mereka mengikuti aliran sains tulen? Pada pendapat saya, semuanya berbalik semula kepada kemahiran penyelesaian masalah. Sama ada pelajar yang akan menaiki menengah atas ke aliran sains tulen atau sastera, kemahiran penyelesaian masalah adalah penting. Setakat tahu mengira dan mencongak, tidak menjamin mereka boleh menggunakan ilmu matematik mereka.

Secara keseluruhan, saya agak bersetuju dengan isi dan dapatan dari artikel ini. Saya sertakan sekali lagi pautan ke artikel ini:  http://www.virtualfriends.net/article/articleview.cfm?AID=50423