Saturday 19 May 2012

Mansuhkan Pengajaran Sains & Matematik Dalam Bahasa Inggeris?

VS


Saya ada terbaca beberapa artikel mengenai pelaksanaan PPSMI. Seperti yang kita sedia maklum, bermula tahun ini sistem pendidikan kita melaksanakan MBMMBI. Jadi, walaupun isu ini diatasi dengan pelaksanaan MBMMBI, tidak salah rasanya saya membangkitkan isu bahasa yang digunakan dalam pengajaran Matematik dan Sains di sekolah.

Terdapat dua artikel mengenai isu ini yang amat menarik perhatian saya. Kedua-duanya merupakan penulisan blog. Artikel yang pertama ialah dari blog bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo dan yang kedua ialah di blog syokkahwin.com oleh Aishah. Sebelum itu, saya sengaja hendak mengulas kedua-dua artikel ini dalam post ini kerana pada saya, ini merupakan isu yang sama cuma berbeza dari segi pendapat sahaja.

Apabila bercakap isu PPSMI, bahasa dijadikan penyebab kepada kurang cemerlangnya pelajar dalam Matematik dan Sains. Berdasarkan penulisan Dr Mohamad Khir Toyo bahawa setelah enam tahun perlaksanaan PPSMI di negara ini mendapat semakin banyak tentangan dan beliau mencadangkan kerajaan memikirkan untuk mengembalikan semula Bahasa Melayu bagi pengajaran Matematik dan Sains di sekolah rendah hingga ke PMR. Beliau juga menyatakan majoriti yang bermasalah adalah di kalangan bangsa Melayu yang tinggal di luar bandar dan tidak atau jarang menggunakan Bahasa Inggeris. Saya faham harapan beliau tetapi adakah langkah tersebut menyelesaikan masalah? Dapatan Noor Azina Ismail (2009), bangsa Melayu sememangnya lemah dalam penguasaan Matematik dan Sains berbanding bangsa lain di Malaysia. Secara peribadi, saya berharap kajian dan tindakan terhadap sikap bangsa Melayu sendiri perlu diberi perhatian. Ini disebabkan oleh berdasarkan kajian, sikap pelajar yang positif menyumbang kepada pencapaian pelajar yang baik. Jadi yang mana sebenarnya bersalah? Bahasa atau sikap bangsa itu sendiri?

Artikel yang ditulis Aishah ini pula bertentangan dengan penulisan Dr Mohamad Khir Toyo tadi. Penulis ini menerima PPSMI secara positif dan saya berpendapat beliau mempersoalkan individu atau kumpulan yang menentang PPSMI. Hujah yang dikemukakan agak boleh diterima oleh saya yang membacanya. Tetapi adakah penulis ini mengambil kira perlaksanaan PPSMI di luar bandar? Realitinya di luar bandar (saya mengajar di luar bandar), kurangnya guru bahasa Inggeris di sana. Makanya, guru-guru yang tidak ditauliahkan dalam matapelajaran ini diarahkan untuk mengajarnya (terjadi pada saya). Pada pendapat anda, tercapai atau tidak objektif pengajaran bahasa Inggeris apabila diajar oleh guru-guru yang tidak bertauliah dalam subjek ini? Rasanya jika objektif tercapai, isu pelajar Melayu di luar bandar tidak boleh mengikuti sistem PPSMI tidak wujud. Penulis ada mencadangkan pelajar luar bandar belajar bahasa Inggeris melalui televisyen dan buku cerita. Ini lagi satu realiti yang saya hendak kongsikan. Betapa seronok atau menarik cerita atau lagu tersebut di pancaindera saya, pelajar saya sedikit pun tidak hairan sekiranya bahasa yang digunakan ialah bahasa Inggeris. Tetapi sekiranya cerita atau lagu yang saya mainkan itu dalam bahasa Melayu atau Indonesia, berkali-kali mereka meminta saya memainkan semula. Itu baru situasi pertama. Buku kerja berharga RM2.50 diminta untuk dibeli bagi kegunaan dalam kelas tambahan di sekolah. Majoriti pelajar akan menjawab,"Cikgu, ayah kita tak pergi ke laut,". Saya tahu itu alasan semata-mata dari pelajar saya kerana mereka sanggup menghabiskan wang bagi membeli isi semula telefon prabayar dan sebagainya. Jadi, lagi sekali saya mengatakan sikap adalah punca utama masalah ini. Isu bahasa ini timbul disebabkan sikap bangsa kita sendiri.

Oleh itu, pihak berkenaan perlu memikirkan cara yang terbaik bagi mendidik warga Malaysia membina sikap yang positif terhadap ilmu. Saya juga berminat dengan cadangan semasa perbincangan di kuliah iaitu mengembalikan semula sistem aliran Melayu dan Inggeris. Ini memberi ruang kepada rakyat untuk memilih aliran yang sesuai dengan anak-anak mereka. Kurikulum mungkin sama tetapi berbeza bahasa pengantar sahaja. Ini cuma cadangan bagi isu bahasa yang berpunca dari sikap tadi. Saya pasti anda selalu mendengar, seribu satu alasan diberi sekiranya kita tidak mahu laksanakan atau tidak sukakan sesuatu. Jadi fikir-fikirkanlah.

Anda boleh membaca sendiri post artikel yang saya ulas tadi di:
Kembalikan Matematik & Sains Dalam Bahasa Melayu www.drkhir.com/2008/12/kembalikan-matematik-dan-sains-kepada.htm
Mansuhkan Pengajaran Sains & Matematik Dalam Bahasa Inggeris? syokkahwin.com/blog/2009/02/17/mansuhkan-pengajaran-sains-dan-matematik-dalam-bahasa-inggeris/

Selamat membaca dan kalau boleh, tinggalkanlah komen anda. Terima kasih.

No comments: