Sunday 20 May 2012

Projek Schoolnet Menghubungkan Sekolah di Seluruh Negara ke Internet Menerusi Akses jalur Lebar

http://www.tm.com.my/ap/about/media/press/Pages/SCHOOLNETPROJECTCONNECTSSCHOOLSNATIONWIDETOINTERNETVIABROADBANDACCESS-bm.aspx


Salam dan selamat sejahtera.

Saya kira Schoolnet bukanlah asing di kalangan warga sekolah di Malaysia. Sekiranya anda telah membaca artikel ini, projek ini telah dimulakan pada 2004. Kini, hampir semua sekolah menggunakan Schoolnet kecuali kepada guru besar atau pengetua yang tidak menandatangani perjanjian untuk menggunakan perkhidmatan ini (ada tapi jumlahnya sedikit). Walaubagaimanapun, saya tidak begitu jelas dengan sekolah-sekolah di pedalaman Sabah dan Sarawak.

Kita sedia maklum melalui banyak dapatan kajian dan salah satunya TIMSS, pelajar yang didedahkan penggunaan komputer dalam pembelajaran mereka baik di rumah atau di sekolah mendapat pencapaian yang baik dalam  matapelajaran matematik dan sains. Untuk tujuan tersebut, kerajaan kita mengadakan kemudahan ict sama ada peralatan, perisian dan jalur lebar dengan harapan pencapaian akademik pelajar di Malaysia meningkat dan setanding dengan pelajar di negara lain di peringkat antarabangsa. Tapi adakah hasrat itu tercapai? Di sinilah bermulanya isu mengenai ict dalam pendidikan di negara kita.


Bagi isu ict dalam pendidikan seperti saya nyatakan tadi, saya hendak berkongsi perlaksanaannya di sekolah saya. Tidak dinafikan akan kemudahan Schoolnet banyak memberi perubahan kepada corak pengajaran guru di sekolah kami. Walaupun tidak semua yang memanfaatkan kemudahan ini tetapi ia memudahkan guru-guru yang menggunakannya menyampaikan pengajaran dengan lebih berkesan. Bagi yang tidak menggunakan kemudahan ini (kebanyakannya guru-guru lama) ialah kerana menganggapnya tidak perlu dan mereka sendiri sememangnya tidak mahir dengan penggunaan komputer dan internet. Sikap takut tersilap di hadapan murid seharusnya dibuang kerana ini ialah salah satu kemahiran bagi memajukan diri sendiri. Secara peribadi, saya menganggap semuanya berbalik kepada sikap.


Masalah kedua yang sering berlaku di sekolah saya ialah talian telefon dan internet tidak boleh digunakan kerana kabelnya dicuri. Bukan sekali dua malah berkali-kali. Tempoh baik pulih pula memakan masa yang agak lama kerana sekiranya kita mengajar, mungkin boleh dihabiskan dua topik dalam tempoh tersebut. Terdapat juga individu yang mencadangkan muat turun bahan dari internet dahulu sebelum ke kelas. Adakah semua guru-guru mempunyai talian internet di rumah? Biasanya, mereka yang mempunyai talian internet di rumah ialah mereka yang menyedari akan kepentingannya sahaja. Bagi mereka yang agak kurang pendedahan, tiada talian di tempat tinggal atau kurang berminat dengan internet, pastinya mereka tidak mempunyai talian internet. Cyber cafe pun mungkin tidak mereka jejaki.


Bagi guru yang telah mengatasi masalah talian dengan memuat turun dahulu bahan pengajaran, masalah yang dihadapi ialah LCD. Pada tahun ini, hanya terdapat 4 buah LCD sahaja yang boleh digunakan di sekolah saya. Disebabkan kebanyakan guru menggunakan ICT sebagai ABM mereka, maka masing-masing berebutkan 4 buah LCD tersebut. Boleh anda bayangkan? Cadangan membeli sendiri LCD boleh diambil kira tetapi berapa ramai di antara kita yang akan membelinya sendiri? Mungkin anda akan menganggap ini sebagai alasan tetapi bagi mereka yang baru berjinak-jinak dengan penggunaan komputer di dalam pengajaran dan telah lama mengajar dengan kaedah konvensional, saya pasti mereka akan berpaling semula kepada kaedah yang lama. Cadangan saya, pihak bertanggungjawab perlu membuat pemantauan yang kerap terhadap laporan kerosakan yang dihantar oleh Penyelaras Bestari sekolah dan membuat tindakan segera.


Setakat ini sahaja dahulu dari saya buat kali ini. Sebarang ulasan yang menyinggung mana-mana pihak, maaf yang saya pinta. Tujuan saya hanyalah bagi menegur diri sendiri dan mereka yang terasa sendiri sahaja yang melakukan perkara yang tidak patut kepada anak didik kita. Sama-samalah kita berubah. Saya sertakan sekali lagi alamat artikel ini untuk rujukan pembaca semua: http://www.tm.com.my/ap/about/media/press/Pages/SCHOOLNETPROJECTCONNECTSSCHOOLSNATIONWIDETOINTERNETVIABROADBANDACCESS-bm.aspx


No comments: