Salam dan selamat sejahtera.
Saya terbaca artikel ini dan tertarik dengan tajuknya, ""Personaliti guru". Saya bersetuju dengan tulisan penulis ini iaitu orang ramai mudah mengenali tingkah laku seorang guru. Seorang rakan saya yang mana suaminya seorang peniaga mengatakan suaminya menceritakan, kalau suka tawar-menawar tu, mesti cikgu. Tidak pasti di mana letaknya tagline "cikgu" pada individu yang bergelar guru tetapi masyarakat sekeliling nampaknya telah mengelaskan tingkah laku tertentu pastinya menunjukkan seseorang individu itu ialah guru. Jadi, guru-guru semua, anda sebenarnya diperhatikan!
Personaliti guru sememangnya mempengaruhi proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Mengikut pengalaman saya sendiri, pelajar tidak berani berinteraksi dengan saya semasa P&P kerana takutkan saya. Semasa saya cuba menukar persepsi tersebut di kalangan pelajar saya dengan cuba menjadi lebih mesra (walaupun tidak mudah), terdapat perubahan dari segi komunikasi di antara pelajar dengan saya sebagai guru mereka. Saya mendapati mereka masih menghormati saya sebagai guru mereka cuma mereka lebih banyak bertanyakan tentang masalah pelajaran yang mereka hadapi dan bercerita perkara-perkara yang bukan bersifat akademik seperti hal keluarga dan sebagainya. Perlu saya akui yang saya agak menyukai situasi ini kerana ia membuatkan saya lebih mengenali latar belakang pelajar didikan saya.
Proses pengajaran juga menjadi semakin rancak dan perbincangan dua hala dapat dijalankan. Pelajar lebih berani memberikan pendapat dan jalan kerja yang mereka fikirkan sesuai untuk menyelesaikan sesuatu masalah yang saya beri untuk dibincangkan. Menurut banyak dapatan kajian yang telah dijalankan, suasana pembelajaran yang positif meningkatkan pencapaian pelajar. Pelajar juga didapati lebih berminat menyelesaikan kerja rumah dan latihan yang diberi di dalam kelas.
Oleh itu, sama-samalah kita memperbaiki personaliti diri kita sebagai seorang guru ke arah yang lebih baik. Matlamat kita sebagai pendidik pastinya ingin melihat anak didik kita berjaya menjalani hidup dalam masyarakat. Dengan menunjukkan contoh yang baik, pastinya mempengaruhi sikap pelajar. Saya sertakan pautan ke artikel ini iaitu http://logik-guru.blogspot.com/2010/01/guru-professional.html
Selamat membaca.
No comments:
Post a Comment